suria

Empangan Teluk Bahang Terus Di Paras Berjaga-jaga

Keadaan Empangan Teluk Bahang susut ketika tinjauan fotoBernama pada awal Julai. Walaupun Fenomena El Nino telah berlalu serta hujan mula turun tetapi empangan ini mencatat kapasiti 46.3 peratus.

GEORGE TOWN: Walaupun musim hujan sudah bermula, paras air di Empangan Teluk Bahang masih jauh di bawah paras berjaga-jaga pertama dan hanya mampu memenuhi keperluan selama 138 hari lagi.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, empangan itu merupakan empangan utama di bahagian Pulau Pinang dan paras airnya ketika ini dilaporkan berada pada aras 45.3 peratus di bawah paras berjaga-jaga pertama 50 peratus.

"Walaupun keadaan bertambah baik berikutan hujan, kami masih perlu memulihara air dengan sebaik mungkin memandangkan paras air di empangan itu menimbulkan kebimbangan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. 

Beliau berkata berikutan perubahan iklim sekarang di mana musim kering amat panjang dan hujan lebat, tetapi tidak lama, bumi tidak mempunyai cukup masa untuk menyerap airnya.

"Ini menyebabkan banyak air permukaan mengalir pergi," katanya. Guan Eng, yang juga pengerusi PBA Holdings Berhad, berkata selain Empangan Teluk Bahang, paras air di Empangan Air Itam Dam kini direkodkan pada 68.3 peratus dan dijangka mampu memenuhi permintaan selama 67 hari lagi, manakala paras air di Empangan Mengkuang, di tanah besar, direkodkan pada 95.2 peratus, yang dijangka mampu menampung keperluan untuk 187 hari lagi.

Sementara itu, pengarah eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari, berkata Festival Kesusasteraan George Town akan kembali diadakan dari 25 hingga 27 November, yang memberi fokus terhadap usaha memupuk kemajuan kesusasteraan dan meneroka kesalinghubungan antara sastera dan seni, filem, muzik serta kewartawanan.

"Tapak warisan George Town, yang kaya dengan keindahan seni bina penjajah, masyarakat pelbagai budaya yang ceria serta warisan peninggalan yang terus hidup, akan mengalu-alukan kedatangan pelawat dari seluruh Malaysia dan dunia ke acara yang meraikan keindahan puisi, prosa dan ungkapan kata-kata itu," katanya.

Beliau berkata festival itu akan menampilkan tokoh sastera dunia serta pengulas masyarakat tersohor seperti Stefan Hertmans dari Belgium, Adriaan van Dis (Netherlands), Olga Martynova (Germany), AC Grayling dan James Scudamore (UK), Ayu Utami (Indonesia) serta Tishani Doshi dan Mahesh Dattani (India), di samping Tash Aw, Zainah Anwar, Dain Said, Dina Zaman dan Karim Raslan yang mewakili Malaysia.-- Bernama


Artikel Lain