suria

Anggota TLDM Maut Tercampak 24 Meter Nahas Di DUKE

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut akibat tercampak dari ketinggian kira-kira 24 meter dalam kemalangan di Lebuhraya Duke berhampiran Plaza Tol Batu, di sini Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Mohd Zuffizzan Mat Noh, 33, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Duta dari tempat kerja di Markas Angkatan Bersama, Jalan Padang Tembak di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud berkata, menurut siasatan, motosikal yang ditunggang mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar tembok batu sebelum mangsa tercampak dari jejambat di lebuh raya itu.

"Mangsa maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala. Tiada sebarang kesan pelanggaran kenderaan lain dijumpai di motosikal itu," katanya kepada pemberita.

Shafie turut menyangkal dakwaan seorang saksi yang menyatakan mangsa kononnya telah dicampak oleh empat lelaki tidak dikenali daripada jejambat itu.

"Hasil siasatan mendapati keterangan saksi itu tidak dapat diterima kerana kedudukan beliau jauh dari lokasi kejadian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. - Bernama

Artikel Lain