KUALA TERENGGANU: Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur 2, LPT 2 Sdn Bhd memandang serius aspek keselamatan pengguna lebuh raya itu susulan kerapnya berlaku kemalangan sejak ia dibuka 31 Jauari tahun lalu. Pengurus Besar LPT2 Husni Md Yusuf berkata sejak pihaknya mengambil alih pengurusan operasi lebuh raya itu dari kerajaan Terengganu sejak 15 Julai lalu, pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan di situ. "Antaranya adalah membaik pulih bahu jalan secepat mungkin di lokasi yang dikenal pasti, menjalankan kerja menaik taraf turapan jalan di 10 lokasi secara berperingkat mulai bulan ini. "Selain itu, LPT2 juga secara berterusan mengadakan pemantauan dan membaik pulih pagar lebuh raya yang rosak di sepanjang lebuh raya sepanjang 10 kilometer untuk keselamatan orang ramai," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, Selasa. Kenyataan itu adalah susulan kebimbangan orang ramai mengenai kadar kemalangan yang sering berlaku di LPT2 termasuk melibatkan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab di Km 395.4 dekat Ajil, petang, semalam. Husni dalam pada itu memohon kerjasama orang ramai supaya tidak merosakkan pagar di sepanjang lebuh raya tersebut kerana ia boleh mengakibatkan ternakan dan haiwan liar memasuki laluan berkenaan dan membahayakan keselamatan pengguna. "Semua pengguna juga dinasihatkan sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan, memandu dengan lebih berhati-hati serta pastikan memandu dalam keadaan cergas dan mendapatkan rehat yang mencukupi terutamanya pada musim hujan ketika ini," katanya. Menurut Husni, bagi mempertingkatkan aspek keselamatan di lebuh raya itu pihaknya juga mengadakan audit keselamatan secara berkala dengan pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan laluan LPT2 adalah selamat serta mematuhi piawaian yang ditetapkan. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supt Shahrum Hashim ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mencari mekanisme terbaik untuk meningkatkan keselamatan di lebuh raya tersebut. Katanya menerusi pertemuan itu, pihaknya telah mempertingkatkan rondaan dan pemantauan yang berterusan di sepanjang LPT 2 bagi memastikan trafik berjalan lancar dan pengguna mematuhi undang-undang dan had laju yang dibenarkan. "Kami juga mengadakan operasi had laju dan cara ini kita dapat lihat pengguna lebuh raya semakin berhati-hati dan kadar kemalangan juga semakin berkurangan berbanding setahun yang lalu," katanya. Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Terengganu, Ahmad Firdaus Harun pula berkata, pemegang konsesi LPT2 seharusnya segera melengkapkan kemudahan di sepanjang lebuh raya terutama di kawasan rehat dan rawat (R and R) agar pengguna lebih selesa dan dapat berehat sebelum meneruskan pemanduan. "Sejak mengambil alih pengurusan lebuh raya itu dua bulan lalu, kita lihat beberapa kawasan R and R di LPT 2 masih tidak mempunyai kemudahan lengkap, malah stesen minyak yang lengkap juga belum ada. "Bagi JKJR pula, kita akan teruskan kempen keselamatan jalan raya, dengan menggesa pemandu lebih prihatin dan mengamalkan pemanduan berhemah dan lebih berhati-hati ketika memandu dalam hujan bagi mengelak berlakunya kemalangan," katanya.--Bernama