GERIK: Mahkamah Majistret Pengkalan Hulu kira-kira 50km dari sini, memerintahkan seorang konstabel polis direman empat hari mulai Rabu bagi membantu siasatan kes seorang guru sekolah rendah di Lenggong, cedera semasa cuba ditahan minggu lalu. Perintah reman dikeluarkan Majistret Nasrul Hadi Abdul Ghani selepas permohanan dikemukakan oleh pihak polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Gan Tian Kee mengesahkan anggota berkenaan yang berumur 32 tahun menyertai Polis Diraja Malaysia pada tahun 2003. Pada Selasa, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mengesahkan penahanan seorang anggotanya selepas seorang guru mendakwa cedera hingga patah tangan kiri ketika ditahan suspek dan seorang rakannya kira-kira jam 7.15 malam 30 Ogos lalu. Insiden tangkapan ke atas guru berkenaan yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Sapi, Lenggong menjadi viral di media sosial sejak Selasa. Sementara itu menurut sumber, guru tersebut kini berada di kampungnya di Kelantan untuk menjalani rawatan tradisional bagi memulihkan tangannya yang patah. Selain itu, mangsa yang kini diberi cuti rehat selama tiga minggu turut mendapatkan khidmat kaunseling kerana trauma dengan kejadian tersebut. "Setiap kali dengar bunyi ekzos motor, mangsa menjadi takut kerana masih terbayangkan kes beliau ditangkap," demikian menurut sumber kepada Bernama.