suria

Tiada Zika Di Pahang - Exco

KUANTAN: Tiada kes jangkitan virus Zika dilaporkan di Pahang setakat ini seperti didakwa dan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp sejak Isnin, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Norol Azali Sulaiman.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri akan mengeluarkan kenyataan rasmi jika ada jangkitan Zika di negeri ini.

"Dakwaan yang disebarkan menerusi aplikasi sosial itu mengatakan seorang penduduk yang tinggal di Taman Guru di sini dijangkiti virus berkenaan adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Pembangunan Institusi Pendidikan Sekolah Rendah (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI) yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini pada Selasa.

Dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp berkenaan mengatakan seorang kakitangan kolej yang tinggal di kawasan perumahan itu terkena jangkitan virus Zika dan merupakan kes pertama di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata pihaknya mengambil inisiatif melaksanakan 'Pelan Persediaan Zika' sebagai usaha mengekang penularan virus Zika dan denggi di negeri ini.

Katanya antara intipati pelan itu termasuk menyarankan kerajaan  negeri mengambil langkah mengharamkan penggunaan plastik dan styrofom dalam jangka masa sesuai kerana ia merupakan tempat utama pembiakan nyamuk Aedes.

"Cuma dalam masa ini buat dahulu kempen mengurangkan penggunaannya... ini selaras dengan konsep teknologi hijau dan besarnya ancaman plastik serta styrofom yang menjadi bekas utama pembiakan Aedes," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Untuk daerah Kuantan, katanya langkah lain turut diambil antaranya memasang perangkap nyamuk (mymat) di hospital memandangkan lebih 50 peratus kes dan kematian akibat denggi didaftarkan di Kuantan.

"Selain itu mendidik orang ramai dengan kaedah penggunaan ubat nyamuk secara betul dan penggunaan racun serangga pada dinding luar rumah.

"Kita juga membekalkan dan melatih masyarakat menggunakan bakteria BTI (Bacillus Thuringiensis Israelensis) bagi kaedah 'larvaciding' (membunuh jentik-jentik) yang berkesan dan selamat," katanya.

Dr Zainal Ariffin berkata pihaknya juga akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha melaksanakan kawalan vektor di samping mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pemilik tanah kosong, lot kosong atau rumah tidak berpenghuni yang didapati menjadi tempat pembiakan Aedes.

Beliau menasihati masyarakat menjaga kebersihan kawasan sekitar serta tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebarkan virus denggi dan Zika.

Zika

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain