Abang Khoon Sing, Khoon Ying, 26, berkata, beliau dan keluarganya berpuas hati dan gembira dengan bantuan dan pertolongan yang diberikan oleh BUCG selepas tragedi itu dan telah memutuskan untuk tidak meminta syarikat itu bertanggungjawab.
"Selepas bertemu dengan mereka dan menerima bantuan daripada mereka, kami mencapai satu persefahaman," katanya pada sidang media di Sunway Resort Hotel and Spa di sini Khamis.
Beliau berkata keluarganya tidak akan meneruskan tindakan undang-undang walaupun Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati BUCG bersalah dalam kemalangan tersebut.
Peguam keluarga, Jason Ng Kau mengesahkan bahawa bantuan telah ditawarkan kepada keluarga mangsa termasuk bantuan kewangan.
"Bagaimanapun, kami tidak akan mendedahkan jumlah yang diterima bagi melindungi keselamatan keluarga," katanya.
Khoon Sing, 23, terbunuh seminggu sebelum menyambut hari ulang tahun ke-24 apabila cangkuk kren pembinaan jatuh di atas keretanya dari tingkat 20 ketika dia sedang memandu di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 25 Ogos.