suria

Khemah Di Mina Jadi Rebutan

ASSALAMUALAIKUM. Setelah mabit di Muzdalifah dan tiba di Mina pada jam 2.30 pagi, semua jemaah merehatkan badan untuk seketika. Alhamdulillah, dapatlah melelapkan mata selepas mandi sejurus tiba di khemah.

Selepas Subuh, suasana di luar khemah kedengaran agak kecoh dengan suara jemaah lelaki. Apa pula yang berlaku ketika itu? Saya menjenguk dan mendapati ada sekumpulan jemaah yang ingin masuk ke dalam khemah tetapi tidak dibenarkan.

Saya agak hairan kerana memikirkan adakah khemah tidak mencukupi sedangkan sudah tentu segala persiapan dilakukan sebaik mungkin sebelum jemaah memasuki khemah di Mina sebagaimana di Arafah. Sepatutnya tiada perebutan.

Ketika bersembang seketika dengan jemaah di kiri kanan saya, tiba-tiba masuk seorang wanita dari Indonesia ke dalam khemah kami. Saya memandangnya dan dia bertanya.

“Siapa ketua di khemah ini?” 

Spontan saya menjawab.

“Kenapa? Mahu apa?”

“Ini khemah saya dan rakan jemaah yang lain dari Indonesia,” ujarnya bersungguh.

“Oh tidak mungkin. Ini tempat kami sejak dari datang sebentar tadi,” balas saya.

“Bukan. Ini khemah kami. Sebelum kamu masuk, kami yang sudah ada di sini. Barang saya juga ditinggalkan di sini. Sekarang mahu cari barang saya,” ujarnya lagi.

“Barang kamu?” tanya saya lagi.

“Ya. Saya letakkan di situ,” ujarnya sambal menunjukkan ke arah tempat barang yang ditinggalkan.

“Tidak mungkin. Sebab dari mula masuk ke dalam khemah, tiada satu barang pun yang ada di dalam khemah ini,” ujar saya lagi.

“Tentu ada,” katanya sambal menjenguk dan mencari barangnya di dalam khemah itu.

“Tidak ada barang di sini. Semua ini barang-barang kami,” kata saya meyakinkannya.

Dia berlalu pergi dan meninggalkan khemah kami.


Tidak lama selepas itu, sarapan dihantar ke dalam khemah. Roti, jem, telur rebus, buah, jus dan air mineral. Setelah mengagihkan makanan dengan bantuan rakan-rakan jemaah yang lain, saya pun bersarapan.

Pada masa yang sama, soalan bertalu-talu daripada jemaah yang mahu tahu waktu untuk melontar jamrah Aqabah. Saya belum mendapat lampu hijau untuk tujuan itu dan memaklumkan kepada jemaah wanita.

Tidak lama selepas sarapan, saya terdengar nama saya dipanggil di luar khemah. Suara daripada Pengarah Urusan Destinasia Travels, Haji Aminuddin Abd Rahman.

Sejurus keluar dari khemah saya lantas bertanya: “Kenapa?”

“Nak bagi tahu pasal melontar jamrah Aqabah,” ujar Aminuddin.

“Tadi jemaah baru tanya pasal melontar juga,” balas saya.

“Insha Allah melontar lepas Isyak. Sekarang berehat dulu,” jawab Aminuddin.

“Tapi ada yang nak melontar sekejap lagi. Macam mana?” tanya saya.

“Sebaik-baiknya malam. Sekarang ramai jemaah yang melontar. Kita melontar malam kecuali petugas lelaki,” ujar Aminuddin lagi.

“Ok kak Ana maklumkan pada jemaah wanita sekejap lagi,” balas saya.

“Kak Ana duduk di khemah ya. Pastikan tiada orang yang ambil khemah kita ni,” pinta Aminuddin.

“Baiklah, insha Allah,” balas saya.

“Dalam khemah lelaki pun saya minta mereka jaga agar tidak dimasuki oleh jemaah dari negara lain,” ujar Aminuddin.

“Tak cukup khemah ke?” tanya saya ingin tahu.

“Ada masalah. Jemaah dari negara lain yang sepatutnya mengosongkan khemah tak nak berganjak dari khemah yang sepatutnya diduduki jemaah dari Malaysia,” ujar Aminuddin.

“Oh ye ke? Kesian jemaah lain. Mana mereka nak duduk nanti,” balas saya.

Tiada jawapan daripada Aminuddin ketika itu.

“Sekejap lagi saya dan petugas lelaki akan melontar jamrah Aqabah. Kak Ana malam nanti dengan jemaah wanita yang lain,” kata Aminuddin lagi.

“Malam nanti siapa yang akan bawa jemaah yang belum melontar jamrah?” soal saya pula.

“Insha Allah, saya dan semua petugas lain akan turut menemani ke kompleks jamrah,” balasnya.

“Ok. Baiklah,” balas saya ringkas.



Aminuddin kembali semula ke khemah lelaki yang terletak bersebelahan khemah wanita. Saya berehat di dalam khemah. Suasana agak sunyi ketika itu. Ramai jemaah tidur setelah kepenatan di Arafah dan Muzdalifah.

Ketika hampir melelapkan mata, jemaah wanita di hujung khemah memanggil saya.

“Hajah…hajah. Ada orang nak tanya ni. Dia minta kita keluar dari khemah,” ujar jemaah itu.

Saya bingkas bangun sambil membetulkan tudung.

“Why? Anything? (Kenapa? Ada apa-apa?”) tanya saya pada lelaki berbangsa Arab yang berdiri di luar khemah wanita.

Lelaki Arab itu tidak tahu berbahasa Inggeris dan di sisinya ada seorang lelaki dari Malaysia.

“Hajah ketua di khemah wanita ini ke?” tanya lelaki itu.

“Saya petugas. Kenapa?” tanya saya.

“Khemah ni jemaah kami punya. Bila hajah dan jemaah lain masuk?” tanya lelaki itu.

“Bukanlah. Khemah ini kami punya. Sejak jam 2.30 pagi kami dah ada di sini,” balas saya.

“Sebelum hajah masuk, kami dah masuk dulu tapi kenapa ambil khemah kami?” tanya lelaki itu.

“Taklah kami tak ambil pun. Memang dari mula masuk, khemah ini kosong saja. Awak silap khemah

ini,” balas saya.

Spontan lelaki berbangsa Arab itu bercakap dan seolah-olah mahukan khemah itu dikosongkan.

“Khemah ini memang kami punya. Sejak dari awal tak ada jemaah lain duduk. Ini bukan khemah awak. Ini khemah jemaah Destinasia Travels,” ujar saya dengan tegas.

Mereka tidak lagi berkata apa-apa dan berlalu meninggalkan saya.

“Kenapa hajah? Tanya seorang jemaah.

“Ada ke dia cakap ini khemah jemaah dia dan nak kita keluar,” balas saya.

“Khemah dia ke?” tanya jemaah itu lagi.

“Taklah, khemah kita. Tadi Haji Aminuddin pesan jangan biarkan khemah kosong sebab bimbang ada orang lain serbu khemah kita nanti. Ada masalah khemah sekarang ini,” ujar saya terus.

Saya baring semula di tempat saya dan mahu melelapkan mata. Tidak sampai setengah jam, terdengar suara saya dipanggil lagi.

“Hajah Raihanah…hajah…” suara yang datang daripada jemaah lelaki.

“Ye kenapa,” ujar saya sejurus keluar dari khemah wanita.

“Hajah, baru sebentar tadi, khemah kita didatangi jemaah lain,” ujar Fakhrol.

“Apa dia kata?” tanya saya.

“Dia cakap, ini khemah dia dan jemaah yang dibawa,” ujar Fakhrol lagi.

“Jangan layan Fakhrol. Mereka nak duduk di khemah kita,” balas saya.

“Tapi dia bersungguh mengatakan khemah kami itu khemah dia dan rombongannya,” ujar Fakhrol lagi.

“Taklah ini khemah kita. Kena jaga. Jangan bagi orang lain masuk. Jika mereka dah masuk, tentu tak nak keluar dan keadaan di dalam khemah akan semakin sempit,” ujar saya panjang lebar.

Fakrol dan seorang lagi jemaah diam.

“Dengan mereka kena tegas. Jika tak, kita kena pula berkongsi khemah dengan mereka. Tentu padat nanti. Haji Aminuddin pergi melontar dan sebelum pergi tadi, beliau berpesan agar menjaga khemah dan tidak membiarkan orang lain mengambil alih kedua-dua khemah kita,” ujar saya panjang lebar.

Fakhrol dan seorang lagi jemaah masuk semula ke dalam khemah lelaki. Saya pula masuk semula ke dalam khemah wanita.

Hendak melelapkan mata asyik terganggu saja sebelum itu. Namun, Alhamdulillah, selepas itu, saya dapatlah tidur dan merehatkan badan untuk beberapa jam.

Cuaca panas di Mina bagaimanapun tidak begitu terasa kerana setiap khemah dilengkapi blower. Sesekali terasa juga angin dingin daripada alat itu. Bagaimanapun, cuaca panas kering sangat terasa jika keluar di antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

Oleh kerana keengganan sekumpulan jemaah dari negara lain mengosongkan khemah yang sepatutnya dihuni oleh jemaah haji dari Malaysia, jemaah haji dari negara kita terpaksa tidur di luar khemah sehingga selesai urusan melontar ketiga-tiga jamrah.

Ikuti catatan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.

mabit, Mina, jamrah

Artikel Lain