suria

Umno Persoal Kerajaan P.Pinang Beli Rumah Kos Sederhana Rendah Di The Rise

GEORGE TOWN: Umno Pulau Pinang mempersoal tindakan kerajaan Pulau Pinang yang dilapor membeli 320 unit rumah kos sederhana rendah bagi projek kerajaan negeri, The Rise di Jalan SP Chelliah, untuk kuota Bumiputera.

Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata mengapa kerajaan DAP Pulau Pinang perlu membayar RM140,000 untuk rumah kos sederhana rendah (kategori B) sedangkan harga jualan siling ditetapkan pada harga RM72,500 seunit.

Beliau berkata jika kos yang akan dibayar kepada pemaju termasuk harga tempat letak kereta, maka jumlah perlu dibayar adalah RM97,500 seunit (RM72,500+RM25,000) sahaja. 

"Bukannya RM140,000 seunit dan bukan juga RM100,000 seunit sebagaimana laporan dalam Roketkini," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Semalam, Roketkini melaporkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai berkata kerajaan negeri mengeluarkan RM44.6 juta daripada dana Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (Tabung Bumiputera) untuk membeli semua 320 unit rumah kos sederhana rendah itu.

Lim berkata harga sebenar bagi seunit rumah berkenaan adalah RM100,000, bagaimanapun kerajaan negeri menyerap RM25,000 iaitu nilai satu petak tempat letak kenderaan dan menjadikan harga seunit rumah berkenaan hanya RM72,500.

Zainal Abidin turut mempersoal mengapa pembayaran RM67,500 seunit untuk 320 unit itu perlu dibuat di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBBP) sebagai sumbangan bagi menampung kerugian MBPP menyerahkan tanah tapak projek.-- Bernama 



The Rise, Jalan SP Chelliah, Umno

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?