KUANTAN: Anggota Umno diminta tidak terus bernostalgia dengan jasa Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri sebaliknya perlu menumpukan kepada kerja untuk memperkukuh parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti. Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak menafikan jasa bekas perdana menteri itu terhadap pembangunan negara ini namun anggota Umno perlu sedar bahawa Dr Mahathir sudah tidak lagi berada dalam landasan perjuangan yang sama dengan parti berkenaan. "Jangan kita terkenang-kenang akan jasa Tun Dr Mahathir sehingga perahu kita terumbang-ambing. Beliau sekarang sudah berada dalam perahu lain yang mana beliau bukan hendak menolong perahu kita pun. "Sebelum beliau tebuk perahu kita, maka adalah lebih baik kita tebuk perahu beliau dahulu. Apa yang penting ahli Umno perlu buat sekarang adalah menguatkan parti dan terus bekerja demi bangsa, agama dan negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuantan di sini, Sabtu. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ismail Sabri yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Dr Mahathir jelas bertujuan untuk memecah-belahkan anggota Umno. "Tujuan mereka adalah untuk memecah-belahkan Umno kerana pada mereka kalau Umno berpecah-belah, maka orang Melayu juga akan berpecah. Ini kerana kekuatan orang Melayu terletak pada Umno," katanya.-- Bernama