TEMERLOH: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob meminta supaya hasratnya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak diperbesar-besarkan. Adnan berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana semuanya bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti dan persetujuan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. "Dan yang paling penting adalah Tuhan, yang akan menentukan segala-galanya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kuala Krau di sini. Adnan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai sejak 1986. Dilaporkan Adnan menyatakan hasratnya untuk bersara sebagai Menteri Besar pada perasmian mesyuarat Umno Bahagian Ketereh, Kelantan pada Jumaat. Adnan berkata, walaupun keputusan itu belum muktamad, ia sesuatu yang munasabah kerana telah terlalu lama terlibat dalam politik. Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk beliau memberi laluan kepada calon lain selepas 30 tahun bergelar Adun Pelangai. Adnan menambah, tidak semua pihak dapat memikul tanggungjawab berat sebagai seorang pemimpin. "Apa yang penting adalah keikhlasan, kejujuran dan komited terhadap tugas," katanya.