suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Empat Kenderaan Di Ipoh

IPOH: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori satu tan di Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang Maju, Jumaat malam.

Dua daripada mangsa dikenali sebagai R. Mathusuthanan serta Venoshen Ng, masing-masing berumur 17 tahun, maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Mohd Fauzi Abdul Aziz berkata seorang lagi meninggal semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan identitinya belum dapat dipastikan.

Katanya kemalangan pada kira-kira pukul 8 malam itu berlaku apabila kereta jenis Toyota Corolla dinaiki Mathusuthanan dan Venoshen dari Ipoh ke Lumut berlanggar dengan sebuah Perodua Viva dari arah bertentangan.

"Akibat daripada itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios telah melanggar bahagian belakang Viva berkenaan dan sebuah lori yang mahu mengelak Vios itu pula terbabas ke bahu jalan.

"Pemandu Viva berkenaan parah dan hantar ke hospital untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Sementara itu, pemandu lori, Musa Zulkafli, 56, dan seorang lelaki yang merupakan pemandu Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.-- Bernama

Artikel Berikut

Pengakuan Bekas Militan IS

Artikel Lain