suria

Hari Paling Bersejarah Untuk Malaysia - Najib

PETALING JAYA: Hari ini merupakan hari paling bersejarah buat Malaysia dengan kemenangan dua pingat emas oleh atlet negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang menyertai Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Hari paling bersejarah buat Malaysia. Negaraku berkumandang buat pertama kali di bumi Rio!

"Kita bawa pulang bukan satu, tetapi dua pingat emas! Syabas Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkefli yang turut catat rekod dunia. Seluruh negara berbangga dengan pencapaian anda berdua," kata Najib di Facebook pada Ahad.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut mengucapkan syabas kepada dua atlet negara itu menerusi akaun twitternya, @liowtionglai.

"Tahniah Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkefli. Pingat emas pertama Malaysia di Paralimpik Rio 2016," kata Tiong Lai sambil menggunakan hashtag #KamiLuarBiasa.

Pingat emas pertama dimenangi Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan pingat emas kedua diraih Muhammad Ziyad dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Artikel Lain