KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man hari ini mengucapkan tahniah kepada dua atlet negara yang menyumbang pingat emas di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu. Menurutnya, kejayaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang meraih pingat emas pertama negara diikuti Muhammad Ziyad Zolkefli wajar diraikan kerana sangat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. "Tahniah dan terima kasih kepada pelari pecut Perlis, Mohamad Ridzuan yang memenangi pingat emas acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) sekali gus memecah rekod Sukan Paralimpik. "Sekalung tahniah juga buat Muhammad Ziyad atas kejayaan mencipta rekod baharu dunia untuk acara lontar peluru F20 lelaki," kata Azlan menerusi catatan di laman Facebooknya pada Ahad. Azlan kini berada di Arafah bagi menyempurnakan ibadah haji. Dalam acara yang berlangsung di Stadium Olimpik itu, Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s yang dilakukan di Beijing pada 2008. Kejayaan Mohamad Ridzuan, 28, kemudiannya disusuli kejayaan Muhammad Ziyad melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) yang mencipta rekod baharu dunia dengan jarak 16.84m, mengatasi rekod lama 16.29m milik Todd Hodgetts dari Australia yang dilakukan di Sukan Paralimpik London 2012. - BERNAMA