suria

Perkasa Ramal PRU-14 Pertengahan 2017

Ibrahim Ali (kiri) pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Perkasa Pahang pada Sabtu. Turut hadir Yang Dipertua Perkasa Pahang, Datuk Zainal Hassan (kanan). Foto Bernama

KUANTAN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal diadakan dalam waktu terdekat iaitu antara Mei dan Jun tahun depan. 

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, ramalan tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor penting terutama kelulusan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini. 

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berperanan sebagai presiden parti, manakala bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pengerusi.

"Saya tidak fikir selepas kelulusan PPBM, akan ambil masa setahun atau dua tahun lagi baharu pilihan raya umum diadakan. Ia pastinya memberi peluang kepada parti baharu itu untuk mengumpul kekuatan.

"Kedua, apabila diadakan dalam waktu terdekat parti pembangkang tidak dapat bersatu terutama PAS dan PAN, PAS dengan DAP," katanya. 

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama pimpinan Perkasa negeri di sini, Sabtu.

Ibrahim berkata dalam konteks politik, Perkasa mengambil pendekatan memberi kebebasan kepada ahlinya untuk menyokong mana-mana parti politik.

Namun, mereka tidak boleh menggunakan nama pertubuhan itu ketika bersama dengan parti politik, kata beliau. - Bernama

Perkasa, Ibrahim Ali

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan