suria

Majlis Qurban Perdana 2,000 Mualaf Catat Sejarah MBOR

Majlis Qurban Perdana Bersama Mualaf mencatat sejarah MBOR apabila ia dihadiri 2,000 mualaf dari seluruh negara.

KUALA LUMPUR: Hujan sejak awal pagi Aidiladha tidak menghalang 2,000 mualaf dari seluruh negara berhimpun untuk sama-sama memeriahkan majlis korban  di Kampung Cheras Baru dekat sini, Ahad.

Majlis Qurban Perdana Bersama Mualaf ini anjuran Koperasi Permodelan Mualaf Berhad hasil idea dan sumbangan penaungnya, Datuk Seri Muhammad Ali Rengen Abdullah.

Lebih manis lagi apabila hasrat murninya turut melakar sejarah tersendiri apabila tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

"Selepas hampir 15 tahun beraya bersama ahli keluarga, kali ini saya inginkan kelainan dan dari situlah tercetusnya idea untuk mengadakan majlis pada pagi Aidiladha ini," kata Muhammad Ali Rengan.

Majlis berlangsung di Padang Surau Manba’ul Taqwa, Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini, bermula seawal pukul 5.30 pagi dengan solat Subuh berjemaah, diikuti sarapan, takbir raya serta solat sunat Aidiladha.

Malahan, kata Muhammad Ali Rengan lagi, objektif utama program yang menumbangkan 20 lembu untuk ibadah korban ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama saudara Islam yang baharu.

“Saya mahu golongan mualaf rasa diterima serta gembira ketika menyambut setiap perayaan sesama mereka,” jelasnya.

Majlis berkenaan juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah khas Aidiladha bagi memenuhi niat Muhammad Ali Rengan menghantar 50 mualaf menunaikan ibadah umrah akhir tahun ini.

Selain itu, majlis berkenaan turut menyambut kedatangan seorang mualaf yang juga ibu kepada Pengerusi Eksekutif Koperasi Permodalan Mualaf, Shila Lama Abdullah.

Wong Lan Eng, 74 telah diislamkan oleh anak lelakinya, Muhammad Johan Haiqal Abdullah, 37 dengan disaksikan Ustaz Kamarudin Abdullah.

Beliau yang menganut agama Buddha sebelum ini mendapat hidayah memeluk Islam apabila melihat tiga anaknya menjalani kehidupan sebagai Muslim yang taat pada agama.

"Walaupun anak-anak saya dan cucu beragama Islam, mereka tetap menghormati saya. Jadi itulah menjadi perkara utama saya memilih Islam," katanya kepada Bernama. 


Artikel Sebelum

Kerbau Korban Mengamuk Di Likas

Artikel Berikut

Artikel Lain