suria

"Saya Tak Benarkan Mereka Turun Ke Sungai" - Ibu Kanak-Kanak Lemas

- Gambar hiasan
TELUK INTAN: Roslina Alang Rendang, 36, tidak menyangka upacara keagamaan yang dihadiri bersama keluarganya di Kampung Gloster di sini bertukar menjadi tragedi apabila dua anaknya lemas bersama seorang sepupu mereka.

Beliau berkata anaknya Sherrel Kulop, 11, dan adiknya Sheetel, 10, dan sepupu mereka Norzehan Long Asing, 13, tergelincir dari tebing sungai semasa sedang mandi.

Setakat ini mayat Sherrel dan Norzehan telah ditemukan manakala usaha mencari mayat Sheetel sedang dijalankan.

Menurut Roslina, semasa kejadian beliau bersama adik iparnya sedang memasak sebelum mendengar jeritan meminta tolong dan melihat ramai orang berkumpul di tepi sungai.

"Kami memang biasa mandi di Sungai Bidor tetapi dengan menggunakan gayung. Saya tidak memberi kebenaran untuk mereka turun ke sungai," katanya kepada pemberita.

Beliau yang datang ke kawasan berkenaan semalam berkata kedua-duanya anaknya itu sempat makan dan minum sebelum mandi bersama Norzehan.

Kakak kepada Sherrel dan Sheetal, Sherlie, 14, berada dalam trauma selepas melihat nasib yang menimpa dua adik dan sepupunya dihanyutkan arus.

"Kami sedang mandi dan membasuh kain di tebing sungai sebelum ketiga-tiga mereka jatuh ke dalam sungai. Saya cuba untuk menyelamatkan mereka namun gagal kerana arus deras," katanya.

Ibu Norzehan, Lohin Pandak pula berkata beliau terkilan kerana memberi kebenaran kepada anak bongsunya dari tujuh beradik itu untuk mandi di tebing sungai.

"Saya benarkan kerana ketika itu saya sedang memasak. Saya sangat terkilan kerana saya hilang anak yang disayangi," katanya.

Artikel Lain