PUTRAJAYA: Kabinet mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengkaji dan menambah baik polisi pembiayaan di bawah peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang1951 bagi pembelian rumah. Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata perkara berkaitan dengan keberkesanan polisi dalam membantu rakyat untuk membiayai pembelian rumah itu diputuskan selepas beliau menjelaskan cadangan pembiayaan berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu. Ini memandangkan polisi berkenaan telah wujud dan beberapa syarikat telah diberi lesen Pemberi Pinjaman Wang untuk membiayai pinjaman sebagai ‘penyambung’ kepada bayaran muka pembelian rumah, katanya dalam satu kenyataan, Rabu. Beliau berkata Kabinet juga meminta dikaji dan ditambah baik polisi berkenaan dari segi kadar faedah dan tempoh pembayaran balik supaya tidak membebankan rakyat serta garis panduan yang jelas dan mudah difahami oleh kedua-kedua syarikat pemegang lesen Pemberi Pinjaman Wang dan juga peminjam. "Dalam masa yang sama, kementerian saya juga mengambil tindakan proaktif dan melihat secara keseluruhan keberkesanan fasiliti pembiayaan wang di bawah peruntukan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 (Akta 400) supaya tidak disalahgunakan oleh pemegang lesen yang tidak bertanggungjawab," katanya. Noh sebelum ini mencadangkan supaya membenarkan pemaju perumahan menyediakan kemudahan pembiayaan memandangkan terdapat peruntukan mengenainya di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi membantu pembeli rumah yang berhadapan kesukaran mendapatkan pinjaman bank. Merujuk kepada cadangan berkenaan, Noh berkata cadangan itu mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak serta mengundang spekulasi tentang perincian skim yang dicadangkan. "Ingin saya jelaskan di sini bahawa cadangan ini adalah menggunakan pembiayaan seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 (Akta 400) di bawah seliaan kementerian saya," katanya. -Bernama