suria

OKU Perlu Diberi Peluang Dalam Sektor Ekonomi, Pendidikan - KJ

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (enam, kiri) bergambar dengan para atlet yang menerima hadiah pada majlis Penghargaan Kepada Para Pemenang Pingat Olimpik Rio 2016 di Pusat Kecemerlangan Proton.

SUBANG JAYA: Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) perlu diberi peluang untuk bersama-sama melibatkan diri dalam sektor pendidikan dan ekonomi negara bagi memastikan mereka dapat mempamerkan potensi masing-masing pada tahap tertinggi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, masyarakat telah pun 'membuka mata' melihat kejayaan atlet paralimpik meraih tiga pingat emas di sukan Paralimpik di Rio De Janeiro dan kejayaan ini seharusnya membuatkan beberapa sektor di negara ini semakin 'celik'.

“Kita telah lihat komuniti OKU mempunyai peluang untuk berjaya seperti yang berlaku dalam sukan paralimpik sehingga mereka dapat membanggakan negara.

"Saya harap ini memberi insipirasi kepada sektor lain terutama sektor pendidikan dan ekonomi mencari peluang kepada golongan OKU ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan replika kunci kereta sumbangan Proton Holdings Berhad kepada pemenang pingat Olimpik Rio 2016, di sini, Rabu.

Menurut Khairy, golongan OKU perlu dilihat dari segi keupayaan serta kemampuan mereka untuk berjaya berbanding menilai kelemahan atau ketidakupayaan.

Khairy berkata ini telah pun dilakukan oleh Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Majlis Paralimpik Malaysia yang telah lama berusaha membangunkan atlet paralimpik dari peringkat akar umbi.

“Potensi yang ada pada golongan OKU ini menunjukkan mereka dapat mencapai kejayaan di peringkat tertinggi jika diberi peluang dan kemudahan,” katanya.

Mengenai sambutan yang akan diberikan terhadap atlet paralimpik pada 22 September ini, Khairy berkata kontinjen akan disambut dalam satu majlis besar-besaran.

“Saya telah bincang dengan Kabinet, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan menyambut ketibaan kontinjen di Kompleks Bunga Raya dan mereka kemudian akan dibawa ke Kompleks Paralimpik Negara di Kampung Pandan,” katanya.

Dalam majlis ini pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menerima Proton Perdana bagi pencapaiannya di sukan Olimpik dan sebagai atlet Malaysia paling berjaya dengan memungut tiga pingat perak dalam tiga kali temasya berkenaan.

Pemenang pingat perak lain, Pandelela Riong dan Cheong Jun Hoong (10m platform seirama wanita), Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying (beregu campuran) serta Goh V Shem dan Tan Wee Kiong (beregu lelaki) menerima Proton Suprima S1.6 L Turbo Premium.

Azizulhasni Awang yang menang pingat gangsa acara keirin menerima Proton Persona serba baharu yang baharu dilancarkan bulan lepas.

Proton Holdings, Olimpik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain