ASSALAMUALAIKUM. Selesai melontar ketiga-tiga jamrah dan bermalam di Mina, saya dan rombongan jemaah haji yang lain berangkat pulang ke Makkah selepas sarapan. Sejurus dimaklumkan bahawa sebuah bas sedang menunggu di depan kawasan khemah, semua jemaah kumpulan pertama menaiki bas manakala sebahagian lagi jemaah dinasihatkan supaya menunggu bas berikutnya. Saya termasuk dalam kumpulan jemaah kedua. Semua nampak girang hendak berangkat pulang ke Makkah sehingga ada yang tidak sempat menghabiskan sarapan malah ada juga yang belum sempat membuka pek makanan yang diagihkan. Keadaan agak kelam kabut kerana jemaah begitu teruja untuk meninggalkan khemah di Mina. Setelah jemaah kumpulan pertama meninggalkan khemah, saya dan sebahagian lagi jemaah duduk menanti panggilan untuk pulang ke Makkah. “Insha Allah bas kedua akan tiba dalam masa beberapa jam lagi,” ujar Ketua Operasi, Haji Masrol Apandi. Bagaimanapun tidak sampai 10 minit kemudian, saya dimaklumkan bahawa sebuah lagi bas kian menghampiri khemah dan kami diminta bersedia. Ketika itu saya di luar khemah mengangkat beg seorang jemaah wanita yang mengadu sakit kaki dan badan. Sejurus menyerahkan semula beg jemaah berkenaan di depan bas, saya bergegas semula ke khemah untuk maklumkan kepada jemaah. “Alhamdulillah bas kita dah dekat sampai. Elok bersiap sekarang dan keluar dari khemah, pinta saya kepada sebahagian lagi jemaah yang masih setia menunggu di dalam khemah dan sedang bersembang. Alhamdulillah, ucap sebahagian jemaah. Semua ceria dan bergegas mengangkat barang keperluan. Namun ramai juga yang meninggalkan barangan yang dianggap tidak lagi diperlukan walhal ia masih berkeadaan baik dan boleh digunakan atau dijadikan kenangan tandamata tatkala menunaikan ibadat haji. Kami bergegas meninggalkan khemah. Semua tidak sabar mahu kembali ke penginapan di hotel Al-Jewar. Setibanya kami di luar khemah bas sudah sedia menunggu. Bas terdahulu belum berangkat. Kira-kira 15 minit kemuduan, bas bergerak menuju ke hotel penginapan. Tidak sampai setengah jam, kami diminta turun kerana bas tidak boleh menghantar kami hingga depan hotel kerana kesesakan lalu lintas. Kami akur. Setelah semua barang dijinjit dan digalas, kami berjalan menuju ke hotel yang terletak kira-kira 400 meter dari tempat kami turun. Berjalanlah kami beramai-ramai. Sesekali terdengar gelak ketawa jemaah. Alhamdulillah terasa lega setelah tiba di lobi hotel. Masing-masing mengambil kunci d kaunter dan berehat seketika. Rukun haji perlu disempurnakan iaitu tawaf, saie dan tahalul. Justeru, tidak boleh leka. Ada jemaah yang mahu melaksanakannya setelah solat Asar manakala saya dan beberapa jemaah lain berhasrat sempurnakannya selepas solat Isyak. Alhamdulillah dapat berehat lagi usai solat Zuhur dan Asar di dalam kamar. Hanya pada jam 9.30 malam, saya dan rakan jemaah mula bertawaf haji. Kami memilih haji ifrad dan kami hanya perlu bertawaf haji sebab saie haji sudahpun disempurnakan. Sejurus tiba di perkarangan Masjidil Haram, kelihatan masih ramai jemaah berpusu memasuki ruang masjid. Tawaf perlu disempurnakan biarpun ramai. Maklumlah, sebahagian besar baru saja pulang dari melontar jamrah dan sudah semestinya Masjidil Haram dibanjiri jemaah haji. Saya dan dua lagi rakan sebilik, iaitu kak Zaini dan Norbaya mula melangkah masuk ke dalam masjid. Kami minum air zamzam sebelum mula menuruni eskelator untuk ke perkarangan Kaabah. “Ramainya…”…detik hati kecil saya. “Jangan lupa niat tawaf sekejap lagi,” pesan saya sekadar memberi ingatan kepada kedua-dua jemaah yang juga mengambil haji ifrad. Kami berjalan beriringan dan tidak bergegas kerana melihatkan lautan manusia di perkarangan Kaabah biarpun sudah hampir jam 10 malam. Pusingan pertama dimulakan. Masing-masing hanya berdiam sehingga tamat pusingan ketujuh. Sungguh padat keadaan ketika itu. Tidak mampu berjalan pantas. Hanya langkah kecil diatur mengelilingi Kaabah yang menjadi tumpuan jutaan manusia dari seluruh dunia untuk menyempurnakan rukun haji. Badan terasa panas. Peluh mula membasahi tubuh. Terasa deras mengalir membasahi jubah yang dipakai namun tawaf perlu disempurnakan.Tawaf pada malam itu mengambil masa kira-kira satu jam. Lazimnya, ketika bertawaf saya berdoa dan berzikir. Sesekali membaca surah pendek apatah lagi jika tawaf mengambil masa yang panjang seperti pada malam berkenaan. Selesai tawaf, saya mengajak kak Zaini dan Norbaya menunaikan solat sunat tawaf. Lama mereka berdoa. Terasa sungguh sebak melihat mereka menadah tangan dan berdoa. Teringat saya ketika kali pertama menunaikan ibadat haji. Saya menangis semahu hati dan seolah-olah tidak mampu bangkit dari perkarangan Kaabah kerana terlalu sedih dan tidak puas-puas berdoa memohon keampunan daripada Allah SWT. Selesai berdoa, kami saling berpelukan. Kami singgah mengisi air zamzam di dalam bekas yang dibawa sebelum berjalan pulang ke hotel penginapan yang terletak kira-kira 80 meter dari perkarangan Masjidil Haram. Esoknya, sebahagian besar jemaah berehat setelah menyempurnakan ibadat haji. Bagi mereka yang memilih haji tamatuk, mereka perlu menyempurnakan tawaf dan saie manakala jemaah haji ifrad hanya perlu menyempurnakan tawaf haji kerana saie haji sudahpun dilaksanakan selepas tawaf Qudum. Kepenatan memuncak dan ramai yang mengambil kesempatan berehat di dalam kamar. Namun, dua hari selepas itu, ramai yang tampak segar dan berulang alik ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat fardu berjemaah. Program ziarah Tanah Suci Makkah dimulakan dan Haji Masrol menasihatkan jemaah yang mahu menunaikan umrah agar membawa kelengkapan ihram untuk berniat di miqat di Hudaibiah. Mereka yang mampu dan bertenaga tidak melepaskan peluang untuk menunaikan umrah sekali lagi. Namun, ada juga yang tidak berpeluang berziarah kerana masih letih dan tidak kurang juga yang tidak sihat. Saya dan kak Zaini serta beberapa jemaah wanita lain merebut peluang menunaikan umrah. Setelah berniat ihram di miqat, kami berkunjung ke Muzium Dua Kota Suci. Ramai yang teruja apatah lagi bagi mereka yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Kami tiba semula di hotel penginapan pada jam 10 pagi dan tanpa berlengah, saya serta kak Zaini naik semula ke bilik penginapan untuk berwuduk dan seterusnya menyempurnakan tawaf serta saie umrah. Oleh sebab keadaan di dalam masjid tidak begitu ramai, kami mula bertawaf pada jam 11 pagi. Biarpun matahari semakin tegak, Kaabah tetap menjadi tumpuan jemaah bertawaf. Tidak lama selepas bertawaf, azan Zuhur berkumandang dan ketika itu juga saya terpisah daripada kak Zaini. Namun, tawaf perlu diteruskan kerana hanya tinggal sekali pusingan lagi. Saya terus bertawaf dan seterusnya menunaikan solat Zuhur berjemaah di dataran Kaabah yang selalunya hanya dikuasai jemaah lelaki. Alhamdulillah, saya bersolat dengan sekumpulan jemaah wanita di suatu sudut di belakang jemaah lelaki di bawah mataf dan kipas besar. Sejurus solat, saya berjalan menuju ke Bukit Safa untuk memulakan saie. Telefon bimbit berbunyi pada pusingan keempat di kawasan Marwah, lantas saya terlihat pesanan daripada kak Zaini yang mengatakan ada di Bukit Safa. Namun, apabila tiba di Bukit Safa, tidak pula saya terlihat beliau. Setelah melengkapkan saie dan bertahalul, saya pulang semula ke hotel penginapan. Saya hanya bertemu kak Zaini selepas solat Asar kerana beliau bersolat jemaah di masjid. Ketika catatan ini ditulis, hanya tinggal dua hari sahaja lagi saya berangkat ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadat haji bersama-sama kumpulan Destinasia Travels, insha Allah. Justeru, ketika anda membaca catatan ini, saya dan rombongan sedang berada di Tanah Suci bagi menyempurnakan haji, Alhamdulillah. Mohon didoakan agar segala urusan dipermudahkan dan kami memperoleh haji mabrur. InsyaAllah, banyak lagi cerita dan coretan pengalaman saya mengenai Tanah Suci yang akan saya paparkan menerusi ruangan ini.