suria

22 Serpihan Ditemui Setakat Ini - Liow

Liow Tiong Lai.

BINTULU: Sejumlah 22 serpihan ditemukan setakat ini di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, yang mana dua serpihan disahkan manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serpihan yang disahkan sebuah flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion Julai tahun lepas dan kepingan sayap di Pulau Pemba, di perairan Tanzania pada Jun tahun ini, adalah penting untuk memastikan bagaimana insiden ke atas pesawat Malaysia Airlines itu berlaku.

"Pengesahan ini amat bermakna kepada kami kerana kami boleh memastikan tindakan selanjutnya untuk mengkaji keadaan serpihan dan bagaimana insiden sebenar ke atas MH370 berlaku," katanya.

Beliau berkata empat serpihan yang ditemukan adalah berkemungkinan tinggi daripada MH370 tetapi selebihnya adalah sukar dikenal pasti kerana tiada nombor siri atau butiran lain di atasnya.

Liow berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat pejabat Lembaga Pelabuhan Bintulu di Tanjung Kidurong di sini Jumaat.

"Pakar Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata corak hanyutan menunjukkan carian yang kami lakukan dalam kawasan yang betul, kerana itulah kami menemukan serpihan di sepanjang kawasan itu," katanya.

Beliau menekankan bahawa pencarian MH370 dalam baki kawasan pencarian seluas 10,000 km persegi dijangka selesai pada penghujung tahun ini.

Setakat ini, pencarian pesawat itu telah meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pesawat itu masih lagi belum ditemukan walaupun pencarian secara besar-besaran di selatan Lautan Hindi dilaksanakan di tempat dipercayai penerbangannya berakhir.  - BERNAMA


MH370, serpihan, Liow Tiong Lai

Artikel Berikut

Artikel Lain