PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat. Pembantu khas bekas perdana menteri, Sufi Yusof berkata pertemuan Tuanku Abdul Halim dan Dr Mahathir berlangsung pada Khamis di Istana Anak Bukit, Alor Setar. Apabila ditanya sama ada Dr Mahathir akan mendedahkan apa yang telah dibincangkan dengan Tuanku Abdul Halim, Sufi berkata 'tiada rancangan pada masa ini'. Dr Mahathir melancarkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac selepas bekerjasama dengan tokoh-tokoh politik utama dan pemimpin masyarakat sivil untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Pada Mei, Dr Mahathir mengumumkan bahawa deklarasi itu telah melepasi sasaran awal di mana ia menyasarkan sebanyak satu juta tandatangan.