PETALING JAYA: Jenazah Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California kira-kira pukul 8.57 pagi Sabtu. Terdahulu, jenazah disempurnakan di Masjid An Noor, Santa Clara, kira-kira pukul 2.40 pagi waktu Malaysia. Anak perempuan Haron, Dr Huda Haron menerusi laman Facebook rasmi milik bapanya itu memaklumkan jenazah selamat disembahyangkan di Masjid Persatuan Komuniti Islam, California kira-kira pukul 4.25 pagi Sabtu. "Selesai solat jenazah yang diimamkan oleh adinda tersayang Hamdi Haron selaku ketua keluarga. Ramai jemaah Maashaallah... jemaah solat jumaat 3 lapis( kami sesi kedua). Alhamdulilaah. "Berebut-rebut jemaah datang memeluk dan menyantuni takziah pada kami.Terpana!!!Tidak sangka. "Tidak pernah bersua.. tidak pernah bersapa... tidak kenal siapa. Cumaa ukhuwwah fillah. Hangatnya persaudaraan disini," tulisnya. Dr Huda turut berkongsi beberapa keping gambar suasana di dalam masjid dan perjalanan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. "Baa... Ini kali terakhir kita berjalan bersama baba dialam ini Baa.. Indah sungguh pemandangan dikiri kanan menuju ke tempat rehat baba. Allah pilih disini Baa. "Persis memori tika menikmati keindahan bukit Uhud... seolah bukan di bumi California. Seakan kami di bumi anbiya," tulis Dr Huda. Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford di San Francisco, California pada pagi Jumaat selepas koma akibat komplikasi jantung. Sementara itu, solat jenazah ghaib akan diadakan pada pukul 9 pagi Sabtu di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan diimamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.