suria

Polis Minta Saksi Kes Buang Bayi Tampil Bantu Siasatan

IPOH: Polis meminta saksi kejadian kes pembuangan bayi yang ditemukan di dalam tong sampah di kafeteria Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) supaya tampil bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang bayi oleh seorang pekerja hospital itu kira-kira 11.10 pagi Sabtu ketika sedang melakukan kerja pembersihan.

"Siasatan awal mendapati polis menemui mayat bayi yang tidak pasti jantina serta bangsa dalam keadaan berulat berhampiran tong sampah di kafeteria hospital berkenaan.

Seorang pengawal keselamatan  memberitahu polis pada awal pagi 12 September lepas beliau ternampak seorang lelaki dan perempuan bertengkar berhampiran kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar menghubungi pihak polis dengan segera.

Sum berkata mayat bayi berkenaan telah dihantar ke hospital itu untuk bedah siasat. Mayat bayi berkenaan ditemukan oleh seorang tukang cuci dalam keadaan sudah berulat kira-kira pukul 10.55 pagi tadi.

Nor Hanizam Idris, 46, berkata ketika itu beliau melakukan kerja memunggah sampah di dalam tong sebelum menemui satu bungkusan yang tidak berikat di dalam satu daripada tong sampah berkenaan.

"Saya terkejut apabila terdapat mayat bayi di dalam bungkusan yang tidak berikat itu selepas mayat berkenaan terjatuh ke atas lantai. Saya kemudiannya memanggil seorang rakan untuk mengenal pasti sama ada objekitu adalah bayi. Objek itu sangat kecil iaitu kira-kira sebesar dua penumbuk menyebabkan saya tidak dapat mengecamnya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. -Bernama

Bayi berulat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain