suria

Jeff Ooi Perlu Minta Maaf Kepada Keluarga Haron Din - PAS

Jeff Ooi.

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS membidas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong (DAP) Jeff Ooi berhubung kenyataan 'adios' berikutan kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din pada Jumaat.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata Ooi perlu memohon maaf kepada keluarga Allahyarham berhubung kenyataan biadapnya di laman Twitter mengenai kematian pemimpin PAS itu.

Terdahulu Ooi menulis'Adios Harun Din. Let there be peace'’ sekaligus membayangkan kebenciannya kepada pimpinan PAS tersebut selama ini.

"Kami mendapati Jeff Ooi seorang Ahli Parlimen yang paling kurang ajar di negara ini apabila sanggup mengeluarkan perkataan tersebut pada waktu sangat tidak sesuai," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Haron, 76, meninggal dunia di Hospital Stanford di San Francisco, California pada pagi Jumaat selepas koma akibat komplikasi jantung.

Menurut Ahmad Fadli, dalam isu kematian pemimpin PAS yang digeruni itu, Ooi tidak cukup hanya memadamkan kenyataannya di Twitter semata-mata.

Malah katanya, Ooi wajib mengemukakan permohonan maaf kepada ahli keluarga Allahyarham bagi menunjukkan dia benar-benar kesal dan menarik balik kenyataan tersebut.

"Realitinya, inilah wajah sebenar DAP apabila berdepan dengan isu-isu melibatkan agamawan yang dilihat tidak selari dengan ideologi perjuangan sekular mereka.

"Buktinya, tiada pimpinan DAP yang menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan biadap tersebut," katanya.


Jeff Oii, Haron Din, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain