suria

Beca Tarikan Baharu Ipoh

Para pengunjung dibawa menaiki beca mengelilingi Bandaraya Ipoh selepas Pelancaran Perkhidmatan Beca Tour M Bike pada Ahad. -fotoBERNAMA

IPOH: Perkhidmatan beca akan diperkenalkan semula di Ipoh sebagai tarikan pelancongan terbaharu sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata kali terakhir perkhidmatan beca ada di Ipoh adalah pada 2005 dan kali ini beca yang disediakan adalah unik kerana ia telah dimodenkan.

"Jika perkhidmatan ini mendapat sambutan daripada pengunjung di Ipoh, kami bercadang memperkenalkannya di Taiping kerana bandar itu memiliki bangunan warisan sejarah selain terdapat Taman Tasik Taiping.

"Ketika ini kebanyakan hotel turut memberikan perkhidmatan itu secara percuma sekiranya menginap di hotel mereka," katanya selepas melancarkan perkhidmatan tersebut di Riverwalk di sini, Ahad.

Perkhidmatan beca itu disediakan M Bike Sdn Bhd kepada pengunjung yang ingin bersiar di lokasi menarik di sekitar bandaraya Ipoh.


Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (tengah) bergambar bersama pengunjung di hadapan 'Mural Art Orang Tua Minum Kopi' selepas merasmikan Pelancaran PerkhidmatanBeca Tour M Bike di Kinta Riverfront pada Ahad. -fotoBERNAMA

Pengarahnya Camees Foong berkata perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Sept lalu itu memperkenalkan tiga pakej iaitu satu perjalanan, laluan warisan dan sewa khas.

"Bagi pakej satu perjalanan, pengunjung akan menaiki beca dari satu lokasi ke satu lokasi lain dengan bayaran RM6 manakala laluan warisan yang berharga RM30 akan melalui 26 lokasi pelancongan di Ipoh selama 45 minit.

"Pakej sewa khas pula akan membawa pengunjung ke mana-mana destinasi dengan jarak 10 kilometer hingga 15 kilometer dengan kadar bayaran RM50," katanya.

Menurut Foong, perkhidmatan dari pukul 9 pagi hingga 12 malam setiap hari itu, bermula dari tiga lokasi iaitu Kinta Riverfront, Stesen Keretapi Ipoh dan Restoran Plan B.

Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin berkata Kinta Riverfront yang kini dikenali sebagai Tourism Riverside, menyediakan beberapa kedai berunsurkan pelancongan seperti kedai menjual cenderamata.

"Terdapat juga kedai Persatuan Pelukis dan Persatuan Pemandu Pelancong yang menyediakan pusat penerangan berkaitan destinasi pelancongan di Perak.

"Selain itu, kita menyediakan gerai makan dan persembahan buskers dan kebudayaan pada sebelah malam untuk menghiburkan pengunjung," katanya.

Beca, Pelancongan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain