suria

Minta Maaf, Kata Tiong Lai Kepada Jeff Ooi

Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen DAP, Jeff Ooi (Jelutong) berhubung pemergian Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din adalah tidak sensitif dan beliau perlu meminta maaf, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai berkata pemergian Haron merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan ini tidak sepatutnya dipolitikkan.

Beliau mengulas mengenai 'tweet' kontroversi Ooi - 'Adios Haron Din. Let there be peace' yang dibuat pada Jumaat.

"Orang yang berkenaan perlu memohon maaf kepada keluarga (Haron) kerana telah membuat kenyataan sensitif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan '3on3 Basketball Challenge 2016' di Wisma MCA di sini, pagi Ahad.

Kira-kira 250 pasukan termasuk empat kumpulan orang kurang upaya mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Sementara itu, Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA Chris Daniel Wong berkata kelakuan Ooi tidak menepati status seorang ahli Parlimen, apatah lagi kawasan yang diwakilinya.

"Ia menunjukkan sikap kurang matang dan tidak sensitif bagi pihaknya," kata Daniel Wong dalam satu kenyataan, Ahad.

Ooi telah membuat kenyataan itu apabila membuat 'tweet semula' oleh pengguna Twitter lain. Ia juga telah mencetuskan kemarahan pengguna internet.

Daniel Wong mendakwa kenyataan mudah 'RIP' atau Rest in Peace sepatutnya sudah memadai.

"Sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan oleh kita sebagai seorang manusia adalah merakamkan ucapan takziah dengan kata-kata yang boleh diterima manusia lain," katanya.

Wong berharap tindakan Ooi ini tidak akan menjadi satu lagi isu perkauman atau agama, di mana ia sering dikaitkan dengan DAP akhir-akhir ini.

"Bagaimana kita terus menegur anak-anak kita, rakyat perlu menegur wakil rakyat mereka," katanya.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata komen Ooi tidak mewakili parti.

Guan Eng berkata, DAP kesal dengan 'kenyataan tidak sensitif' yang dibuat oleh Ooi dalam tweet 'adios'nya.

Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Ooi telah pun memadam tweet tersebut.

Sebelum itu, Ooi menafikan melakukannya dengan mendakwa akaun Twitternya telah digodam dan beliau tidak terlibat dalam tweet kontroversi itu.

Ooi menegaskan bahawa beliau 'mengawal penuh' akaun Facebook dan Twitternya.

Ooi juga berkata beliau tidak mempunyai niat untuk memperkecilkan Haron atau keluarganya.

Artikel Berikut

Artikel Lain