TANJONG KARANG: Seorang guru lelaki dan bayi perempuan berusia enam bulan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran pekan Sekinchan, pagi Isnin. Guru itu dikenal pasti sebagai Mohd Faizuri Ibrahim, 33, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Harun dan bayi itu Nur Qaireen Khalisya Anuwar, meninggal dunia di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Nor Azmi Isa berkata dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, kereta Perodua Alza dipandu Mohd Faizuri terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan Proton Perdana dinaiki keluarga bayi itu. "Proton Perdana yang dinaiki sepasang suami isteri bersama-empat anaknya termasuk bayi perempuan berkenaan gagal mengelak (Perodua Alza) dan berlaku perlanggaran menyebabkan Perodua Alza terbalik ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin. Ketika kejadian keadaan hujan lebat dan jalan basah, katanya dan menurutnya mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat. Katanya, ibu bapa bayi berkenaan cedera di bahagian kaki dan tangan dihantar ke Hospital Tanjong Karang manakala tiga lagi anak pasangan itu dirujuk ke Hospital Sungai Buloh. - BERNAMA