suria

Miliki 98 Liter Ubat Batuk Dan Ambil Dadah, Bapa Empat Anak Didenda RM2,000

KUALA LUMPUR: Seorang bapa empat anak didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah memiliki 98 liter ubat batuk (promethazine) dan mengambil dadah jenis methamphetamine pada Jun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid memerintahkan tertuduh Khairul Rijal Mustafa, 39, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu bagi setiap pertuduhan.

Pembantu kedai makan itu mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki ubat batuk itu di Jalan 1/132, Gasing Indah, Brickfields di sini pada 11 malam, 17 Jun lepas mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.

Dia juga mengaku salah terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, pada 12.45 malam, 18 Jun lepas mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan Akta 1167/2002) yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagaimanapun peguam Aminruddin Salleh yang mewakili tertuduh merayu hukuman berbentuk denda kerana anak guamnya perlu menyara empat orang anaknya yang masih kecil. - BERNAMA 



ubat batuk, dadah, bapa

Artikel Lain