Beliau berkata usul persempadanan semula dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu turut menyebabkan Umno tidak berpuas hati kerana ia dijangka mengurangkan jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dahulunya mempunyai majoriti pengundi Melayu yang tinggi di Selangor.
"Contohnya di Ampang, kalau dahulu, satu kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa), ketiga-tiga Umno bertanding.
"Tapi dengan persempadanan baharu ini, saya rasa Umno mungkin tidak dapat tiga kerusi itu di Ampang," katanya ketika diminta mengulas mengenai hasrat pembangkang mengadakan pilihan raya kecil di Selangor berikutan usul persempadanan itu.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini, memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.
Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baharu Damansara, yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.
Penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan mendesak supaya Selangor mengadakan pilihan raya mengejut ekoran cadangan persempadanan semula, yang didakwa sengaja 'mengubah' peta negeri itu.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam, dilaporkan berkata Umno akan meneliti usul persempadanan itu dan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 30 September ini.