LUMUT: Air pasang besar di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis dekat sini yang diramal berlaku 8 malam Selasa mungkin dijangka lebih teruk. Pegawai Bencana Operasi Angkatan Perkhidmatan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung, Shamsur Shahuddin berkata pihaknya juga menjangkakan jumlah penduduk yang terpaksa dipindahkan akan meningkat. Ketika ini 15 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Panchor. Beliau berkata setakat tengah hari Selasa, paras air adalah satu meter berbanding 1.2 meter sekitar 6 pagi. Seorang penduduk Shariff Yaacob, 68, berkata air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 5.30 pagi ketika anggota keluarganya sedang tidur. "Kami sekeluaga cepat-cepat menyelamatkan barangan elektrik dan perabot kerana air naik dengan pantas sehingga paras lutut," katanya dan menambah ia merupakan banjir terburuk berlaku sejak beliau menetap di kampung itu lebih 10 tahun lalu. Bagi Hatipah Don, 54, banjir yang berlaku di awal pagi mengejutkan beliau dan tujuh orang anaknya sementara suaminya pergi ke laut. "Saya mengejutkan anak-anak saya untuk menyelamatkan diri, bimbang jika keadaan lebih buruk berlaku kerana air sudah sampai ke paras pinggang. Kesemua barangan elektrik kami habis ditenggelami air," katanya. Sementara itu Pegawai Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin berkata jumlah keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Tapak Semenang, Teluk Intan meningkat kepada tiga berbanding dua sebelum ini. "Mereka belum dibenarkan balik selagi banjir tidak surut kerana kita bimbang berlaku perkara tidak diingini," katanya yang melawat pusat pemindahan itu. - BERNAMA