KUALA LUMPUR: Seorang peniaga air tebu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Selasa atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang merupakan anak teman wanitanya. Abdul Rahim Yusuf, 29, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak itu dengan niat untuk mencabul kehormatannya di ruang tamu dan beranda sebuah rumah di Ampang di sini pada 6 pagi dan 4.30 petang, awal Mei tahun ini. Lelaki itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor tertuduh dan ibu mangsa tinggal di rumah yang sama. Majistret Haslinda A. Raof menetapkan 21 Oktober untuk serahan dokumen dan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. - BERNAMA