PUTRAJAYA: Parti komponen Barisan Nasional diminta menyatakan pandangan mereka mengenai cadangan kawasan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pandangan semua ahli komponen perlu diteliti sebelum mengemukakan apa-apa bantahan. "Itulah yang kami mahu lakukan semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Jumaat. Parti-parti komponen akan diminta untuk menyatakan pandangan mereka mengenai cadangan itu. "Kami mahu tahu secara terperinci bagaimana ia akan memberi kesan kepada mereka sebagai parti komponen dan kita (BN) sebagai satu gabungan," katanya. Tengku Adnan berkata, adalah salah untuk menganggap bahawa gabungan itu tidak akan terjejas oleh persempadanan semula kawasan pilihan raya. Jelasnya BN juga bimbang bagaimana ini akan memberi kesan kepada kerusi dan peluang dalam pilihan raya umum akan datang. "Anda tahu bahawa beberapa parti komponen kami telah menyuarakan kebimbangan mereka," katanya. Mesyuarat itu, yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dihadiri oleh presiden atau wakil-wakil 13 parti komponen BN.