suria

'Ratu Naga' Disiasat Berhubung Posting Facebook Rosmah

PETALING JAYA: Pengguna Facebook kontroversi, Ratu Naga sekali lagi disoal siasat oleh polis berhubung posting yang didakwa berunsur fitnah mengenai Datin Seri Rosmah Mansor.

Ratu Naga, atau nama sebenarnya ialah Syarul Ema Rena Abu Samah memberitahu The Star Online bahawa polis datang ke rumahnya selepas tengah malam, Selasa.

"Pada pukul 12.30 tengah malam, anggota polis berpakaian preman dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang datang mengetuk pintu dan membunyikan loceng di rumah saya.

"Apabila saya bertanya mengapa, mereka tidak memberitahu namun menegaskan supaya saya mengikut mereka ke balai polis," katanya.

Bagaimanapun Syarul Ema berkata dia enggan mematuhi arahan polis kerana masih dalam tempoh berpantang, setelah melahirkan anak kira-kira sebulan lalu.

"Mereka masuk ke dalam rumah saya dan melihat bayi saya sedang tidur di dalam bilik.


"Pada masa itu, hanya dua saudara lelaki saya berada di rumah kerana suami bekerja di negeri lain," katanya.

Tidak mahu memanjangkan perkara itu, dia mengikut polis ke balai polis bersama-sama dengan salah seorang daripada abangnya dan meninggalkan bayi di rumah dengan abangnya yang lain.

Syarul Ema yang bekerja sebagai perunding berkata, dia disoal siasat berhubung posting mengenai isteri Perdana Menteri dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di balai polis.

Artikel Lain