suria

Rakyat Johor Perlu Bangga Jadi Bangsa Johor - Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kanan) disambut dengan persembahan tarian singa pada Majlis Jamuan Teh bersama pemimpin-pemimpin daripada 58 pertubuhan masyarakat Tiong Hua seluruh Johor di Dewan Cina, Istana Besar Johor Bahru. Foto Bernama

JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah rakyat Johor perlu berbangga menjadi bangsa Johor yang bersatu padu dan sentiasa menjaga hubungan yang harmoni antara kaum dan agama yang berbeza. 

"Sejak saya hidupkan semula semangat bangsa Johor yang telah diasaskan oleh Almarhum Sultan Ibrahim sejak tahun 1920an, saya dapat rasakan semangat perpaduan antara kaum di negeri Johor ini telah semakin meningkat," titah baginda pada majlis jamuan teh bersama pemimpin masyarakat Tionghua negeri Johor di sini, Rabu.

Baginda bertitah semua masyarakat di Johor mula merasa bangga yang mereka bernaung di bawah satu payung yang tidak membezakan kaum, keturunan atau asal usul mereka. 

"Inilah semangat perpaduan yang mesti kita kukuhkan," titah baginda.  

"Mungkin ada orang-orang politik di luar Johor yang cemburu dengan konsep bangsa Johor ini dan mengatakan yang ia hanya membawa kepada perpecahan," titah baginda. 

"Bukankah penyatuan pelbagai kaum di bawah satu bangsa itu menghasilkan perpaduan? Bukankah perbalahan politik dengan agenda tersendiri yang membawa perpecahan? Janganlah kita hiraukan kata-kata orang tua yang seakan hilang akal ini," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, rakyat Johor perlu menunjukkan nilai dan budaya bangsa Johor yang beradab sopan, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain. 

"Jangan biarkan perbezaan fahaman politik memecah-belahkan bangsa Johor," titah baginda. 

Baginda turut membidas pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai agenda tersendiri untuk merebut kuasa pemerintahan. 

"Mereka sering membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat. Mereka berjuang bukan lagi untuk kepentingan umum tetapi lebih untuk kepentingan peribadi," titah baginda. 

Titah baginda mereka ini menggunakan apa juga cara untuk mencapai matlamat mereka, malah sanggup melakukan huru-hara.

"Tetapi apabila keadaan tidak boleh dikawal dan rusuhan berlaku, saya pasti mereka akan lari meninggalkan negara ini dan membiarkan rakyat menanggung derita," titahnya. 

"Saya berharap rakyat saya bijak dalam membuat pilihan dan tidak terikut-ikut dengan fahaman politik sempit yang boleh meruntuhkan perpaduan hidup masyarakat di negeri ini," titah baginda. 

Sultan Ibrahim bertitah generasi muda perlu mengetahui tentang sejarah negeri dan bangsa Johor supaya tidak terpengaruh dengan hasutan yang boleh merosakkan masa depan mereka dan menggugat kesejahteraan hidup generasi akan datang. 

"Kita sering bercakap tentang perpaduan kaum yang masih belum berjaya sepenuhnya. Puncanya adalah kerana masih wujud pendidikan asas atau sekolah rendah yang dipisahkan mengikut jenis kaum," titah baginda.  

Sultan Ibrahim bertitah untuk menghasilkan generasi baru yang bersatu-padu, mereka perlu dicampurkan dalam satu pendidikan asas yang seragam. 

"Tidak boleh diasingkan mengikut kaum atau agama. Pendidikan asas inilah yang amat penting untuk mengajar tentang nilai dan budaya hidup dalam masyarakat berbilang kaum," titah baginda.  

Hampir 60 wakil pemimpin masyarakat Tionghua negeri Johor menghadiri majlis itu diadakan di Dewan Cina, Istana Besar di sini. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain