suria

Bapa Lega, Kini Ziyad Boleh Fokus Persiapan Kahwin

PETALING JAYA: Selepas kejayaan Muhammad Ziyad menghadiahkan pingat emas kepada negara, kini  atlet luntar peluru itu boleh fokus kepada persiapan majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada November ini.

Bapanya, Zolkefli Othman ketika dihubungi mStar Online nyata lega dengan situasi itu.

Beliau berkata, segala persiapan menjelang majlis perkahwinan Muhammad Ziyad diuruskan tunangnya, Zafirah Nasir memandangkan anak sulungnya itu sibuk dengan persediaan ke Sukan Paralimpik sejak beberapa bulan lalu.

"Pakcik lega sebab lepas ini dia boleh fokus kepada persediaan hari bahagianya sekembalinya ke tanah air. Sekarang hanya tinggal dua bulan sahaja untuk buat persiapan.

"Saya pun risau kerana segala persiapan banyak diuruskan tunangnya. Kesian juga tengok Zafirah kena banyak berkorban kerana Ziyad ada tugas penting untuk negara," katanya.

Bagaimanapun, Zolkefli berkata, beliau enggan berbincang dengan Ziyad mengenai persiapan majlis itu secara tergesa-gesa kerana tahu anaknya memerlukan rehat yang cukup selepas pulang dari Brazil.

"Saya tak nak beri tekanan, biar dia rehat dulu. Lepas habis penat baharulah kita akan duduk bincang agar majlis itu nanti berjalan dengan lancar," katanya.

Ziyad akan menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihannya, Zafirah pada 20 November ini selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.

Ditanya mengenai kepulangan anaknya, Zolkefli berkata, beliau tidak sabar mahu berjumpa dengan anak kesayangannya itu.

"Kali terakhir kami berjumpa semasa menghantar dia ke Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Brazil.

"Siapa tak rindu anak yang tinggal berjauhan tapi rindu kami sekeluarga terubat apabila dia sering bertanya khabar melalui WhatsApp. Dia juga banyak hantar gambar masa dekat Brazil," katanya.

Zolkefli berkata beliau sekeluarga dan bakal menantunya akan menyambut kepulangan Muhammad Ziyad di Kompleks Bunga Raya, Sepang pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kepulangan atlet Paralimpik akan diraikan secara besar-besaran di atas kejayaan luar biasa mereka di temasya berprestij dunia itu.

Katanya, sambutan atlet Paralimpik bermula di KLIA sebaik pesawat yang membawa mereka tiba dengan simbolik semburan penghormatan di atas kejayaan meraih tiga emas dan satu gangsa di Paralimpik Rio.

Selepas itu, atlet Paralimpik negara akan dibawa ke Kompleks Bunga Raya, untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan kemudian menaiki bas untuk diarak di sekitar Kuala Lumpur sebelum konvoi berakhir di Kampung Pandan. 



Artikel Berikut

Harapan Rakyat Bajet 2017

Artikel Lain