suria

Tanam Pokok Bakau Atasi Fenomena Air Pasang

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau jalan yang rosak dipukul ombak akibat fenomena air pasang besar di sekitar Sungai Meriam pada 20 September 2016.-BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penanaman pokok bakau dilihat langkah terbaik dalam usaha menangani fenomena air pasang yang berlaku di negara ini sehingga menyebabkan kejadian banjir.

Sekalipun pelbagai langkah lain diambil seperti pembinaan benteng, namun pokok bakau merupakan benteng semula jadi terbaik, kata Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Zainal Azman Abu Seman.

"Infrastruktur sedia ada meliputi benteng di persisiran pantai sangat penting sebagai benteng penahan air yang utama ketika berlaku ombak besar.

"Di kawasan yang berlaku fenomena air pasang besar iaitu di Selangor terutamanya kita dapati kawasan benteng penahan semula jadi iaitu pokok paya bakau yang merupakan antara ekosistem penting bagi kawasan pinggir pantai semakin berkurangan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Zainal berkata kawasan paya bakau perlu dikekalkan dan dipulihara kerana boleh mengurangkan angin yang kencang di kawasan pinggir pantai serta tekanan  gelombang lautan.

Katanya lagi langkah ini antara penahan semula jadi yang dilihat berkesan bagi menangani kesan fenomena air pasang yang berlaku selain menjimatkan kos serta boleh bertahan lama.

Menurutnya, benteng penahan air sedia ada yang dibuat daripada batu dan tanah pula mudah pecah sehingga air laut melimpah ke kawasan sekitar seterusnya  menyebabkan banjir.

Selain itu katanya penempatan penduduk di sekitar kawasan berhampiran pantai yang berisiko terjejas berikutan fenomena air pasang besar di negeri tersebut  hendaklah dikaji semula struktur pembinaannya.

"Kawasan perumahan hendaklah dibina lebih jauh dari kawasan pantai agar dapat mengurangkan kesan kejadian air pasang yang berlaku secara tiba-tiba.

Sementara itu, pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata sistem awal bencana perlu ditambah baik dalam menangani fenomena air pasang yang menyebabkan banjir itu.

"Sistem yang lebih 'masa nyata' perlu digunakan oleh pihak berkaitan yang membuat ramalan bencana agar penduduk sekitar kawasan pantai dapat berjaga-jaga serta ditempatkan di pusat pemindahan dengan kadar segera," katanya.

Mohd Fadzil berkata maklumat mengenai kejadian ini juga perlu disebarkan dengan segera kepada penduduk di kawasan berhampiran pantai melalui medium yang  mudah diakses.

"Walaupun sekarang media sosial merupakan medium saluran info utama, namun tidak semua yang ada akses kepadanya, terutamanya penduduk di kawasan pedalaman dan generasi tua.

"Selain itu, orang ramai perlu peka terhadap fenomena sebegini dan isu alam sekitar yang berlaku agar dapat bersedia awal dari segi aspek keselamatan," katanya. - Bernama

Air Pasang

Artikel Berikut

Artikel Lain