suria

Warga Mesir Jatuh Balkoni Ditemukan Mati Lemas

LANGKAWI: Seorang warga Mesir yang dilapor hilang sejak empat hari lalu ditemukan mati lemas pada Khamis.

Pengarah Maritim Daerah 1 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Zulkarnain Mohamad berkata mayat Yahya Yousry Mohamad Al-Sayid dikesan terapung di permukaan laut kira-kira 12 kilometer dari lokasi beliau dipercayai terjatuh dari balkoni sebuah hotel berdekatan Tanjung Burau.

Mayatnya yang ditemukan pasukan mencari dan menyelamat dibawa ke Jeti Polis Marin di Bukit Malut sebelum dibawa ke Hospital Langkawi.

"Operasi mencari dan menyelamat agak mencabar ekoran angin kuat dan laut bergelora," kata Zulkarnain.

Isteri dan beberapa orang anggota keluarga mangsa turut berada di jeti sebelum mengiringi kenderaan polis yang membawa mayat ke hospital.

Bernama difahamkan anggota keluarga mangsa bercadang membawa balik jasadnya ke Mesir pada Khamis.

Yahya Yousry tiba di sini Isnin lepas untuk bercuti bersama-sama isterinya dan mereka mendaftar masuk di Berjaya Resorts and Hotels, sebelum beliau dilapor hilang selepas terjatuh dari balkoni chalet hotel itu kira-kira pukul 4.00 petang hari yang sama. - BERNAMA

Lemas

Artikel Sebelum

Bayaran Haji Dijangka Kekal

Artikel Berikut

Artikel Lain