suria

Pemimpin Pembangkang Dakwa Dilarang Bertemu SPR WP

Gambar fail Tan Kok Wai.

KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang mendakwa tidak dibenarkan memasuki pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini bagi mengemukakan bantahan mereka berhubung cadangan persempadanan semula.

Ahli Parlimen DAP-Cheras, Tan Kok Wai mendakwa mereka sudah memberitahu Pengarah SPR Wilayah Persekutuan, Mohd Nazri Ismail berhubung kunjungan mereka tetapi diberitahu bahawa ia tidak boleh dijadikan sebagai kunjungan "rasmi".

Bagaimanapun, sebaik sahaja mereka tiba di Menara TH Selborn di sini, mereka diberitahu oleh pegawai polis bahawa tiada seorang pun orang awam dibenarkan masuk, 

"Kita diberitahu terdapat larangan selama sebulan ke atas mana-mana parti yang mahu berurusan dengan SPR buat masa ini.

"Kita kesal kerana kita sudah beritahu mereka lebih awal mengenai kunjungan ini," kata Tan kepada pemberita pada Khamis.

Ahli Parlimen PKR-Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa ia bukan kali pertama mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan SPR.

"Kita telah buat banyak temu janji dengan mereka sebelum ini, malah sebelum cadangan persempadanan semula diumumkan.

"Ini menunjukkan layanan buruk (SPR) terhadap pembangkang," katanya.

Ahli Parlimen Amanah-Kuala Krai, Dr Hatta Ramli pula berkata, "larangan satu bulan" itu adalah tidak adil kerana SPR perlu bertanggungjawab terhadap rakyat.

Sumber SPR Wilayah Persekutuan ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu tiada arahan seperti itu dikeluarkan.

"Kita tak pernah menghalang mana-mana pemimpin pembangkang untuk datang dan berjumpa dengan kita. Mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka mahu tetapi kita tidak menghalang mereka daripada datang.

"Bagaimanapun, jika mereka mahu mengemukakan bantahan, mereka perlu melakukannya secara bertulis dan mengikut prosedur. Tetapi kita tiada masalah sekiranya mereka mahu datang dan melihat paparan peta persempadanan yang baharu," kata sumber itu.

SPR, persempadanan semula

Artikel Berikut

Rezeki Air Pasang Besar

Artikel Lain