KUALA LUMPUR: Tiga warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Op Nyah 2 fasa ke-10 di sekitar ibu negara bermula semalam hingga awal pagi Khamis. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, dalam operasi bersepadu yang dijalankan bermula 8 malam Rabu sehingga 4 pagi tadi, seramai 164 Pati diperiksa dan 102 daripada mereka ditahan. "Warga asing yang ditahan adalah 80 lelaki dan 22 wanita melibatkan pelbagai warganegara iaitu Bangladesh, Indonesia, China, Pakistan, Myanmar, India, Vietnam dan Filipina. "Tindakan akan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966, Akta Pemerdagangan Orang 2012 dan akta lain yang berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis. Menurutnya, semua yang ditahan ditempatkan di Lokap Berpusat Jinjang dan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini untuk tindakan lanjut. Abdul Hamid berkata, operasi itu diadakan di kawasan seperti Jalan Petaling, Jalan Alor, Bukit Bintang, Apartmen Pantai Indah dan Jalan Gelang Off Jalan Gendek, Sungai Besi dengan menyasarkan Pati yang menjadikan kawasan premis yang diperiksa sebagai penempatan dan tempat bekerja. Katanya, semua jabatan dan daerah polis di Kuala Lumpur terlibat dalam operasi itu yang turut dibantu agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Jabatan Pendaftaran Negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pasukan Gerakan Am. "Polis Kuala Lumpur akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian dan keadaan sebagai usaha berterusan memastikan bandar raya ini sentiasa aman dan tenteram," katanya.