suria

Zahid Hamidi Dilantik Timbalan Pengerusi BN

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pemecatan beliau pada Jun lalu.

Perkara itu diumumkan Presiden BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

"Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai timbalan pengerusi BN yang baharu selaras dengan Fasal 3 Fasal 8 (3) (B) Perlembagaan Barisan Nasional, usul ini dicadangkan MCA dan disokong MIC dan telah diterima dengan sebulat suara," katanya.

Najib turut mengumumkan pelantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sebagai bendahari agung BN yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak jawatan sebagai Bendahari Agung BN dan Bendahari Umno susulan pengundurannya sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet pada 27 Jun lalu.

Terdahulu, BN mengadakan mesyuarat majlis tertingginya bagi membincangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dan hal-hal berkaitan parti komponennya.

Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa pemimpin tertinggi BN antaranya Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Datuk Seri Liow Tiong Lai; Datuk Seri S. Subramanian; Datuk Seri Mah Siew Keong dan Datuk Seri Adenan Satem.


BN, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain