IPOH: Dua anggota tentera antara yang ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilakukan di beberapa jalan utama sekitar bandar raya Ipoh malam tadi hingga awal pagi Ahad. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Supt Wan Jamil Wan Chik berkata anggota tentera masing-masing berusia 22 dan 20 tahun itu ditahan bersama dua remaja lelaki berusia 19 dan 20 tahun. "Kesemua yang ditahan itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Wan Jamil berkata operasi yang dijalankan dari 11 malam hingga 6 pagi tadi, diketuai Timbalan Ketua JSPT negeri DSP Mohd Mahiri Hussin serta 40 anggota polis trafik. "Sebanyak 322 kenderaan diperiksa membabitkan 185 kereta dan 58 motosikal manakala selebihnya adalah kenderaan lain," katanya. Beliau berkata sebanyak 13 motosikal disita manakala 61 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada plat kenderaan, langgar lampu isyarat, lesen tamat tempoh, memotong secara berbahaya, tiada cukai jalan dan lesen kenderaan motor. "Kesalahan trafik yang paling banyak direkodkan ialah kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen," katanya. Menurut Wan Jamil operasi itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menangani kegiatan lumba haram dan mat rempit di bandar raya ini yang dilihat boleh membahayakan keselamatan diri dan orang ramai.