suria

Ibu Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Anak

Anggota polis mengiringi seorang ibu muda, Aida Amira Harun,22, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 27 September atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia dua tahun awal bulan lalu. - BERNAMA

SUNGAI PETANI: Seorang ibu muda yang didakwa membunuh secara tidak sengaja anak perempuannya berusia dua tahun pada awal bulan lalu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa.

Pengakuan itu dibuat Aida Amira Harun, 22, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula oleh jurubahasa di hadapan Hakim M. Vijayalakshmi.

Tertuduh sepatutnya dijatuhkan hukuman pada hari ini selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 22 Ogos lalu.

Dia yang ketika itu belum diwakili peguam, didakwa menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Ainul Solehah Mohd Husamuddin.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani antara 9.10 malam hingga 9.40 malam pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mahkamah menetapkan 25 Okt sebagai tarikh sebutan kes bagi tujuan serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Izzah Munirah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hezeri Hamid. - BERNAMA

Bunuh, Anak, Ibu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kanak-Kanak Jadi Keldai Dadah

Artikel Lain