suria

Dua Lelaki Samun Kedai Emas Dalam Masa 28 Saat

SEREMBAN: Dalam masa 28 saat, dua lelaki dipercayai bersenjatakan pistol, melarikan barangan kemas bernilai RM50,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Dato Bandar Tunggal di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu, suspek yang memakai topi dan berkaca mata hitam telah masuk ke premis itu sebelum mengarahkan pekerja kedai mengeluarkan dulang berisi emas.

"Suspek mengacukan senjata tersebut ke arah tiga pekerja perempuan yang turut berada di dalam premis semasa kejadian.

"Suspek mengarahkan pekerja premis agar mengeluarkan dulang berisi emas sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Muhamad Zaki berkata semasa kejadian, enam pekerja perempuan ada bersama dengan pemilik kedai.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan barang kemas tersebut bersama dengan dulang barang kemas berkenaan dan membuang dulang tersebut di tepi jalan berhampiran kedai emas berkenaan.

"Kejadian berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan menunjukkan suspek hanya mengambil masa lebih kurang 28 saat untuk melarikan sebuah dulang berisi subang emas dan anggaran kerugian kira-kira RM50,000," kata Muhamad Zaki.

Beliau berkata premis berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan sejak beroperasi 24 tahun yang lalu.

"Pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek dan Ops Tutup turut dilaksanakan. Rakaman CCTV dari premis sekitar akan diteliti," katanya. - BERNAMA

samun, kedai emas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain