KUALA LUMPUR: Bekalan air bantuan sedang dihantar dengan lori tangki ke premis pengguna di kawasan yang masih terjejas bekalan air di daerah Petaling, Hulu Langat dan Sepang. Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah dalam kenyataan malam Selasa berkata status pemulihan bekalan air sehingga 8 malam ini di empat daerah yang terjejas bekalan air sejak 22 September lalu adalah 100 peratus di Kuala Langat dan 99.7 peratus di Sepang. "Bagi Hulu Langat pula, ia sudah 97 peratus pulih manakala untuk Petaling, ia mencapai 90 peratus," katanya. Beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dari 22 hingga 24 September lepas akibat pencemaran sungai. "Loji telah mula beroperasi sejak 2.30 petang pada 24 September dan tiada pencemaran bau dikesan lagi," katanya. Amin Lin berkata pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja pembaikan itu melalui aplikasi telefon bimbit 'mySYABAS' atau melayari www.syabas.com.my.