suria

Keluarga Mangsa Kemalangan Go-Kart Tidak Izin Kutip Dana

KUANTAN: Keluarga kepada mangsa kemalangan go-kart Perlumbaan Inovasi Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARace 2016) tidak pernah membenarkan kutipan dana seperti yang tersebar di laman sosial Facebook.

Wakil keluarga itu yang tidak mahu dikenali berkata mereka mula menyedari perkara itu sejak petang semalam, dan menyifatkan kegiatan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab.

"Kami menafikan ada membenarkan sebarang usaha mengutip dana atau apa sahaja tindakan yang disebarkan individu atau pihak tertentu. Kalau ada sekalipun pihak yang ingin membantu, sila datang berjumpa kami dahulu.

"Jangan gunakan insiden ini sebagai modal meraih untung. Tindakan ini boleh menjatuhkan nama baik dan jejas pandangan orang terhadap keluarga kami, terutamanya isteri arwah," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Astana Permai di sini, Rabu.

Pada 11.30 pagi Ahad lalu, penyelia kilang Izwan Isa, 39, dan anaknya Nur Zulaikha, lima, maut akibat dirempuh sebuah go-kart semasa menonton perlumbaan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Kejadian yang didakwa berlaku apabila tiga buah go-kart bergesel sesama sendiri turut mencederakan isteri mangsa Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Daniel, 7 tahun.

Berhubung keadaan keluarga mangsa, sumber berkata Siti Suhaiza masih trauma dan banyak menghabiskan masa di dalam bilik, manakala Muhammad Izz Daniel dijangka keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, tidak lama lagi.

Beliau menambah pihaknya tidak berbincang atau membuat keputusan berhubung tindakan terhadap penganjur atau tuntutan insuran kerana keutamaan mereka adalah untuk memastikan Siti Suhaiza kembali stabil.

"Kami harap semua pihak dapat faham situasi dihadapi kami dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan kami masa untuk selesaikan perkara ini satu demi satu," katanya.

Go-Kart

Artikel Lain