GEORGE TOWN: Seorang jurutera dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya pada Hari Kekasih, tiga tahun lepas. Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Cheong Teik Keon, 34, di akhir kes pembelaan. Pada Januari 2014, Cheong didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh Tan Ching Chin, 24, di Taman Hwa Seng, Jalan Roshan, Alma di sini pada 8.40 pagi, 14 Februari 2013. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori. Dalam penghakimannya, Lawrence berkata kandungan dalam e-mel yang dihantar oleh tertuduh kepada mangsa jelas menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk melakukan perbuatan itu. Sejurus keputusan mahkamah itu, Cheong, yang memakai baju-T berwarna putih, dilihat hanya tersenyum sambil memandang ke arah ahli keluarganya manakala salah seorang ahli keluarganya yang duduk di galeri awam dilihat menitiskan air mata. Sementara itu, peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili tertuduh, memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa beliau akan menfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, dalam masa terdekat. Pada 6 Mei lepas, Cheong diperintah membela diri selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit.