GEORGE TOWN: Seorang tahanan lelaki yang baharu dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen George Town, di sini melarikan diri ketika dibawa anggota polis untuk menaiki trak polis di perkarangan mahkamah itu pada Khamis. Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Mohd Rozali Omar, 32, diiringi anggota polis menuju ke trak untuk dibawa ke penjara selepas mahkamah menetapkan hukuman terhadapnya. "Ketika prosiding di mahkamah, lelaki itu mengaku bersalah kerana mencuri motosikal dan dia dijatuhkan hukuman setahun penjara serta denda RM3,000. Sebaik habis prosiding, dia dibawa menaiki trak polis dengan tangan bergari," katanya di sini. Beliau berkata siasatan awal mendapati tahanan itu memanjat tembok mahkamah dan melarikan diri menuju ke Jalan Masjid Kapitan Keling sebelum polis mengejarnya, bagaimanapun dia berjaya meloloskan diri. Mior Faridalathrash berkata usaha mengesan lelaki berkenaan giat dijalankan dan polis turut melancarkan operasi di negeri itu bagi mencari tahanan yang beralamat terakhir di Pinang Emas, Jalan Sungai Batu di Batu Ferringhi di sini. Katanya polis percaya tahanan itu masih berada di negeri ini dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki itu untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.