suria

Waris Lega, Tetapi Persoal MH17 Jadi Sasaran

PETALING JAYA: Laporan Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) bahawa pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK yang dibawa dari Rusia ke Ukraine melegakan waris mangsa kerana ia bukti kukuh untuk mengheret pihak tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ahmad Tarmizi Ismail, suami kepada pramugari MH17, Allahyarham Hamfazlin Sham Mohamed Ariffin berkata, sekurang-kurangnya ia menjadi maklumat mengenai penjenayah yang mengakibatkan nahas itu berlaku.

“Yang dah tak ada (mangsa nahas) tetap dah tak ada, tetapi sekurang-kurangnya biarlah ada keadilan. 

“Saya merasakan tindakan kerajaan Malaysia dah ok, tetapi memandangkan perkara ini melibatkan undang-undang antarabangsa dan negara-negara besar, mungkin saya menjangkakan ia (proses menuntut keadilan) mengambil masa.

“Kita pun tak mengharapkan keadilan itu berlaku sekelip mata, tetapi InsyaAllah lambat-laun akan terbukti juga nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Ahmad Tarmizi Ismail bersama anaknya, Alif Hazim (kanan) dan Alif Haiqal. 

Bagi Mariyam Yusoff, isteri kepada juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, rumusan yang dibuat JIT menjawab pertikaian berhubung pihak yang harus bertanggungjawab, sama ada Ukraine atau Rusia.

Pada masa sama, pengesahan itu diharap mendapat perhatian kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyegerakan kes tersebut dibawa ke muka pengadilan.

“Dulu kita nak saman, kita tak tahu nak saman siapa, sama ada Ukraine atau Rusia. Sekarang kita dah tahu siapa bersalah, siapa yang lancarkan peluru berpandu BUK.

“Saya nak minta kerajaan terutama Perdana Menteri supaya bertindak lebih agresif berhubung insiden MH17. Kes ini perlu segera dibawa ke muka pengadilan sebab kita dah ada bukti,” ujar Mariyam.

Mariyam ketika saat gembira bersama suaminya, Allahyarham Kapten Wan Amran.

Sementara itu, Noor Aini Mohd Noor, adik kepada seorang penumpang MH17, Allahyarham Noor Rahimah Mohd Noor menuntut penjelasan lanjut mengenai bukti pelancar peluru berpandu BUK itu dari Rusia yang menembak jatuh MH17.

“Adakah bukti yang betul-betul kukuh mengatakan Rusia yang menembaknya? Kami perlukan bukti yang terperinci mengapa (Rusia) tembak, apakah tindakannya dikaitkan dengan Malaysia? Kenapa dalam banyak pesawat yang lalu (ketika kejadian) kenapa mesti tembak Malaysia Airlines? 

“Ajal dan maut itu kita faham (kuasa Tuhan). Itu mungkin cara pemergiannya (mangsa nahas). Tetapi persoalannya, kenapa pesawat yang itu sahaja? Mereka mesti ada sebab-sebab kenapa tembak pesawat kita,” soal Noor Aini.

Noor Aini Mohd Noor.

Pada Rabu, Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Pusat Belanda, Wilbert Paulissen  berkata, sistem pertahanan peluru berpandu BUK itu kemudian diangkut balik ke Rusia selepas MH17 ditembak jatuh, mengorbankan kesemua orang yang berada dalam pesawat.

"Berdasarkan siasatan jenayah, kami membuat kesimpulan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK 9M38-Series wilayah Persekutuan Rusia," katanya pada sidang media di Nieuwegein, Belanda.

Pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Rusia.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

MH17, JIT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain