suria

Tiang Layar Patah, Women's Boat To Gaza Tetap Teruskan Pelayaran

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan tiang layar kapal 'Women's Boat to Gaza (WBG)' patah tidak melunturkan semangat delegasi tersebut meneruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Ahli Lembaga Pengarah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Mohd Hassan yang meeupakan doktor rasmi kapal WBG berkata layar kapal Zaytouna-Oliva yang dinaiki 13 delegasi dari pelbagai negara itu patah pada 4 pagi hari ini (waktu tempatan).

"Namun ia bukan halangan besar dan kami tetap teruja untuk melihat senyuman rakyat Gaza apabila kami tiba di sana nanti," katanya dalam satu kenyataanpada Jumaat.

Beliau yang merupakan wanita pertama Malaysia menyertai misi itu berkata kapal WBG semakin menghampiri Gaza dan mereka bertekad untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza.

Kapal Zaytouna-Oliva memulakan pelayaran pada 8 malam 14 Sept (waktu tempatan Barcelona) dari pelabuhan Vell dan berhenti di Ajaccio (pusingan pertama) pada 19 Sept sebelum meneruskan perjalanan ke Messina (pusingan kedua).

"WBG dijangka tiba di Gaza pada 5 Okt ini. Pihak MyCARE telah berhubung dengan Pengurus MyCARE di Gaza, Ahmad Thabet berkenaan persediaan menyambut ketibaan delegasi WBG," katanya.

Beliau berkata inisiatif antarabangsa yang menggunakan laluan air ini akan memberi tekanan kepada pihak Israel biarpun ini bukan kali pertama cubaan untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Delegasi WBG sedang dalam misi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza yng disertai golongan wanita setelah laluan darat ke negara yang dizalimi itu dikepung dan laluan masuk dari sempadan Mesir-Gaza di Arafah turut ditutup.

Artikel Berikut

Artikel Lain