SUNGAI SIPUT: Bukan dasar MIC meletakkan anak tempatan sebagai calon untuk bertanding di kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam. Beliau berkata ini kerana dasar itu dilihat tidak praktikal jika dilaksanakan di semua tempat memandangkan hanya segelintir pemimpin tempatan yang layak diletakkan sebagai calon. "Itu bukan dasar MIC, mungkin di beberapa tempat boleh dilaksanakan tapi bukan semua tempat boleh kita letak anak tempatan sebagai calon, bagaimanapun terpulang kepada pemimpin untuk memilih. "Bagi MIC dasar itu tidak praktikal kerana kita perlu melihat kepada kebolehan mereka...sekiranya ada calon yang layak boleh kita lakukan tapi sekiranya ada pemimpin lain yang lebih layak kita akan memilih mana yang sesuai," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-70 MIC di Dewan Konvensyen di sini, Isnin. Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata MIC sedang giat memperkukuhkan kedudukan mereka di pentas politik Perak bagi memenangi kesemua kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada PRU-14. Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti dua elemen penting untuk mendekati masyarakat India, sekali gus meraih kepercayaan mereka terhadap parti itu. "Kami telah mengenal pasti dua tumpuan pembangunan dalam membawa masyarakat India ke hadapan..pertama, meningkatkan taraf pendidikan dan kedua, kemajuan ekonomi. "Kami akan memberi tumpuan untuk mengoptimumkan kedua-dua tonggak itu melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan MIC dan kerajaan dalam usaha menyelesaikan semua masalah yang dihadapi masyarakat (India)," katanya. Dr Subramaniam turut mengingatkan pemimpin di peringkat akar umbi supaya memastikan gerak kerja yang dijalankan dapat diperkemas dan diperkasakan lagi. Ini termasuk melakukan pendaftaran pengundi serta memastikan semua anggota MIC menjadi pengundi dan menyokong Barisan Nasional (BN) supaya sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat parti itu telah bersedia sepenuhnya,kata beliau.-Bernama